18 PELAJAR UIAM TERPERANGKAP KERANA KEPALA AIR

 

Akibat fenomena kepala air di Sungai Pisang berdekatan Taman Rimba Klasik Sendayu di Gombak, 18 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terperangkap.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata kejadian pada Isnin malam itu berlaku ketika enam lelaki dan 12 wanita berusia dari 19 hingga 23 tahun itu menyertai aktiviti pembelajaran di luar dewan kuliah di sungai berkenaan sekitar 6 petang.

“Paras air Sungai Pisang naik menyebabkan mereka tidak dapat menyeberangi sungai itu. Mereka bagaimanapun dapat diselamatkan pada 10.40 malam,” katanya kepada media, pada Selasa.

Seramai 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang diarah ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan itu pada 8 malam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua BBP Selayang, Harun Ahmad Sali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian pada 8.08 malam.

“Apabila tiba di lokasi, seramai 18 individu termasuk enam lelaki terperangkap di seberang sungai akibat arus deras.

“Semua mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota dengan menggunakan tali untuk menyeberangi sungai, kira-kira jam 10 malam dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.