1MDB : NAJIB PUJI KEMATANGAN PAS

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji prinsip ‘tabbayun’ PAS yang mengamalkan politik matang dan tidak semberono membuat serangan.

Beliau berkata, PAS tidak melulu, sebaliknya membuat siasatan terlebih dahulu dan barulah ia membuat kesimpulan atau keputusan terhadap sesuatu isu.

Najib berkata, isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PAS membuat pendirian mereka selepas mendapat penjelasan daripada pihak berkenaan.

“…(PAS) panggil (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) dan selepas penjelasan oleh Arul Kanda, baru dia buat pendirian dia.

“Pendirian dia ialah memahami bahawa kita perlu beri peluang kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dan apabila berjaya nanti bererti masalah 1MDB boleh selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang di sini, pada Sabtu.

Pada majlis itu, Najib yang juga presiden UMNO turut merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Machang.

Perdana menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan berkata, hasil daripada kematangan dalam berpolitik itu menjadikan PAS parti pembangkang yang konstruktif.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Arul Kanda mengenai hutang yang ditanggung oleh 1MDB dan pelan rasionalisasi hutang tersebut, hasil sidang meja bulat yang diadakan di Kuala Lumpur.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.