Peningkatan Hasil Pendapatan Kesan Positif inisiatif Transformasi Kerajaan- Ahmad Husni

IPOH, 17 Feb — Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata hasil pendapatan negara yang meningkat sejak tiga tahun lepas adalah kesan positif inisiatif transformasi oleh kerajaan.

Beliau berkata ini termasuk kajian mengenai ruang penambahan kutipan hasil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Kita lihat pendapatan negara telah meningkat melalui kutipan hasil yang begitu cekap oleh LHDN dan Kastam, dan Model Baru Ekonomi kita berjaya dengan catatan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga tahun lepas,” katanya kepada pemberita pada sambutan rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Tambun di sini, hari ini.

Selain itu peningkatan pendapatan negara turut didorong oleh Pelan Transformasi Ekonomi dalam sektor pelaburan di samping pendapatan syarikat turut melonjakkan dan ini menjadikan negara berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baharu, katanya.

“Ekonomi negara terus mencapai pertumbuhan dengan syarikat korporat meraih  berpendapatan tinggi, di samping itu kita sedang beralih daripada sebuah ekonomi berasaskan kos rendah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah,” katanya.

Ahmad Husni yang juga anggota Parlimen Tambun berkata beliau yakin melalui inisiatif itu pendapatan hasil negara akan bertambah seperti yang telah terbukti sejak tahun tiga tahun lepas.

“Kita percaya pada 2013, hasil pendapatan negara akan bertambah dengan adanya transformasi ekonomi ini yang pada akhirnya menghasilkan peningkatan pendapatan sektor korporat dan rakyat,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian bahawa dunia sekarang ini memberi fokus bagaimana Malaysia dapat menggubal dasar transformasi ekonomi yang terperinci sehingga sektor pelaburan negara mencatatkan nilaian yang begitu tinggi.

“Sekarang ini ada beberapa negara menghantar perwakilan mereka untuk mempelajari sistem kita. Mereka mahu belajar bagaimana kita melaksanakan transformasi ekonomi terutama daripada segi perancangan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.