Manifesto BN Selangor Janjikan Kehidupan Yang Lebih Baik Buat Rakyat Negeri Itu- Najib

541888_10200940166417560_1239423411_n

KUALA LUMPUR, 17 April — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor yang dilancarkan malam ini menjanjikan kehidupan yang lebih baik buat rakyat berbilang kaum di negeri itu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa rakyat untuk turut sama bertindak demi kemajuan negeri Selangor yang berkesan.

“Malam ini, saya akan melancarkan manifesto untuk negeri Selangor yang menjanjikan kehidupan lebih baik buat rakyat berbilang kaum di Selangor. Marilah kita sama-sama bertindak untuk kemajuan Selangor yang berterusan,” katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib malam ini melancarkan manifesto tersebut yang mengandungi tujuh teras dan 56 aku janji yang menumpukan kepada langkah-langkah meringankan beban kewangan warga Selangor sambil meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Antara lainnya BN berjanji mewujudkan koridor baharu “Selangor Global Logistic Hub” di kawasan antara Pelabuhan Klang, Kota Raja dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, bagi menarik pelaburan asing dan antarabangsa dengan penjanaan 560,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Selangor.

Tujuh teras aku janji BN Selangor itu ialah Masa Depan Lebih Cerah, Masyarakat Lebih Prihatin Lebih Penyayang, Kualiti Kehidupan Lebih Selamat dan Sejahtera, Perumahan Lebih Mampu Milik, Selangor Lebih Inovatif, Lebih Daya Saing, Selangor Lebih Progresif dan Selangor Lebih Mesra, Alam Lebih Bersih.

Najib berkata senarai calon yang akan mewakili BN di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang kebanyakannya adalah muka baharu merupakan wakil BN yang akan mendokong prinsip transformasi kerajaan.

Katanya langkah itu sekaligus akan menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.