1MDB TERIMA DANA PELABURAN RM3.6B

Datuk-Seri-Ahmad-Husni-Hanadzlah

1Malaysia Deve­lopment Bhd (1MDB) akan me­­nerima dana pelaburan berjumlah RM3.6 bilion (ASS$1 bilion) menerusi perjanjian yang dimeterai antara International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan anak syarikat pelaburan Abu Dhabi, Aabar Investment (Aabar).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, menerusi perjanjian itu, IPIC akan membuat bayaran sebanyak RM3.6 bilion pada atau sebelum 4 Jun ini dan dana itu akan digunakan 1MDB bagi membayar balik pinjamannya.

Menurutnya, bayaran balik pinjaman itu akan dibuat lebih awal daripada tarikh akhir seperti ditetapkan bank peminjam.

“Kerjasama strategik dan perjanjian yang wujud antara 1MDB dengan IPIC itu adalah sebahagian langkah-langkah lanjutan bagi menangani secara keseluruhan aset dan liabiliti transaksi kewangan antara pelbagai pihak.

“Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah lanjutan itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan selepas pembentangan pelan rasionalisasi 1MDB dalam mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Husni memberitahu, seperti dicapai bersama Edra Energy iaitu sebuah entiti di bawah 1MDB, projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah syarikat yang diberi kuasa autonomi dan akauntabiliti terhadap operasi serta kewangan mereka.

“Kementerian Kewangan kekal sebagai pemegang saham utama dalam TRX dan Bandar Malaysia yang dilihat boleh meningkatkan ekuiti melalui pelabur pihak ketiga.

“Hasil yang diperoleh akan digunakan untuk perbelanjaan modal dan dapat mengurangkan hutang 1MDB,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.