PJPB: PELUANG KEDUA UNTUK PELAJAR MISKIN BERPOTENSI

 

5b7e232b-1090-43c7-bc85-e5e2d049602f

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera akan menawarkan sebanyak 37,000 tempat kepada pelajar miskin dan kurang bernasib baik, peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti dan kolej.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri yang juga Menteri Mentor program itu, berkata siri jelajah ke 52 lokasi di seluruh negara akan diadakan untuk mengumpul pelajar lepasan Sjil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang layak.

Katanya, sebanyak 11 universiti awam, swasta, politeknik dan kolej kemahiran akan menawarkan tempat kepada semua pelajar terpilih secara berperingkat, bermula sesi pendaftaran kemasukan baharu pada Mei depan.

“Kita akan cari pelajar yang berpotensi kerana kita tidak mahu mereka tercicir. Contohnya, ada pelajar gagal lanjutkan pelajaran hanya disebabkan gagal peroleh keputusan cemerlang dalam subjek Bahasa Inggeris atau Matematik, sedangkan subjek lain cemerlang.

“Begitu juga dengan faktor keluarga, ada pelajar daripada keluarga miskin terpaksa batalkan hasrat sambung belajar atas faktor kewangan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera di sini, semalam.

 

Program Jelajah Pendidikan Bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Kuala Selangor, semalam adalah kesinambungan daripada program Mengubah Destinasi Anak Bangsa (MDAB) yang dijalankan sejak 2010.

Sebelum ini, MDAB hanya menawarkan tempat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sahaja, tetapi sekarang ia diperluaskan ke institusi pendidikan lain.

Institusi pendidikan yang terbabit dalam program berkenaan adalah Universiti Teknikal Kuala Lumpur (UNIKL), Politeknik Malaysia, Kolej Komuniti, Giat MARA, Kolej Polytech MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Institut Kemahiran MARA (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan.

Ismail berkata, pihak menyasarkan sebanyak 150,000 pelajar akan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam tempoh tiga tahun, sekali gus membina masa depan lebih baik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk MDAB, Prof Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata MDAB sudah melahirkan kira-kira 35,000 graduan sejak diperkenalkan pada 2010.

Beliau berkata, mereka bukan saja mampu mendapat pekerjaan atau membuka perniagaan, malah ada yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Kita akan terus menjelajah ke seluruh pelusuk negara bagi mencari pelajar berpotensi supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan,” katanya.

 

Oleh Shaik Amin

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.