MAHATHIR BERHAK SAMAN NAJIB SEBAGAI RAKYAT, KATA KU LI

Tengku-Razaleigh-Hamzah

 

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhak menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai rakyat dan pembayar cukai, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau yang dikenali sebagai Ku Li berkata, sesiapa sahaja boleh menyaman pihak eksekutif dan pegawai kerajaan sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.

“Macam salah guna kuasa, kita rakyat biasa boleh saman. Mereka boleh dikenakan tindakan tindakan perundangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, pada Selasa.

“Rakyat asalkan dia bayar cukai, siapa juga yang membayar cukai, sebagai rakyat dia berhak, dia ada locus standi,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau tidak menolak jumlah tuntutan RM2.6 bilion yang dikemukakan Mahathir dalam samannya itu adalah untuk menggantikan dakwaan RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib sebelum ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini berkata Mahathir tidak mempunyai locus standi untuk menyaman Najib memandangkan apa yang dilakukannya ini hanyalah gimik politik.

 

Oleh Shaik Amin

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.