PEMBANGUNAN NEGARA TIDAK TERJEJAS-PM

KANOWIT 27 MARCH 2016. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan penduduk ketika melakukan tinjauan mesra di Taman Muhibbah Kanowit. NSTP/NADIM BOKHARI.

 

Kerajaan yakin agenda pembangunan negara tidak akan terjejas dan berjalan seperti mana direncanakan walaupun ekonomi dunia berada dalam ketidaktentuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata khususnya pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar di negeri Sarawak misalnya, menjadi salah satu agenda utama kerajaan.

Bagi Perdana Menteri, adalah menjadi tekad kerajaan pimpinannya untuk memastikan segenap lapisan rakyat mengecapi nikmat kemajuan negara, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar, dari segi penyediaan kemudahan asas.

Katanya, walaupun berdepan pelbagai kekangan, kerajaan sentiasa mencari jalan terbaik dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya dalam konteks sosioekonomi.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM800 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kapit dan Kanowit untuk mewujudkan akses lebih baik ke kawasan pedalaman terbabit.

“Ini merangkumi pembinaan jalan raya, laluan penghubung dan jambatan, dengan sebahagian besar kerja-kerja pembinaan itu sudah hampir siap.

“Ini tentunya mewujudkan sistem perhubungan yang lebih baik di kawasan terbabit, malah diyakini mampu menyumbang kepada usaha meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Dengan adanya sistem perhubungan lebih baik, maka lebih banyak pembangunan dan kemajuan dapat dibawakan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra di Taman Muhibah, Kanowit, di sini, petang tadi, sebelum mengakhiri program lawatan kerja dua harinya ke wilayah tengah Sarawak.

Terdahulu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat meninjau perkembangan beberapa projek pembangunan infrastruktur perhubungan yang dilaksanakan Kerajaan Pusat di Kapit dan Song.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.