SUKMA 2018 DI PERAK

TA03736

Percikan bunga api yang mewarnai ruang udara Kuching memeriahkan majlis penutupan Sukan Malaysia Ke-18 (SUKMA XVIII) di Stadium Sarawak, malam ini.

Upacara penuh gilang gemilang temasya yang bertemakan “Perpaduan Dalam Kepelbagaian” itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Majlis berkenaan disaksikan kira-kira 40,000 penonton yang datang dari seluruh pelosok Bumi Kenyalang yang membanjiri stadium seawal jam 3 petang.

Kombinasi persembahan berkonsepkan moden dan tradisonal turut dimeriahkan dengan penampilan beberapa penyanyi popular termasuk Jay Jay dan Bob Yusof.

Temasya dwi tahunan itu membuka tirainya 21 Julai lalu dengan Kuching, Sibu, Miri dan Samarahan dipilih sebagai empat daerah utama penganjuran kali ini membabitkan 25 venue pertandingan yang disertai 5,670 atlet.

SUKMA XVIII turut menyaksikan kelahiran jaguh pecut baharu negara apabila pelari Melaka, Khairul Hafiz Jantan, meleburkan rekod 100 meter berusia 18 tahun milik legenda pecut Sarawak, Watson Nyambek.

Selepas mencatat 10.18 saat dalam acara 100 meter, pelari muda itu turut mencatat rekod baharu kejohanan dalam acara 200 meter dengan catatan 21.03 saat.

Bagaimanapun, hasrat tuan rumah yang menghantar 544 atlet untuk merebut gelaran juara keseluruhan, tidak kesampaian apabila sekadar menduduki tempat kedua di belakang Selangor.

Kali terakhir Sarawak muncul juara keseluruhan ialah pada 1994, mengulangi kejayaan dua temasya sebelumnya iaitu pada 1990 dan 1992.

Selaku tuan rumah, Sarawak berpuas hati di tangga kedua dengan 57 emas, 43 perak dan 59 gangsa manakala juara empat kali, Terengganu pula berada di tangga ketiga dengan 47 emas, 42 perak dan 44 gangsa.

Selangor muncul juara buat kali kesembilan sejak temasya mula dianjurkan pada tahun 1986 dengan kutipan 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa.

Dua tahun lagi, Perak pula akan menjadi tumpuan apabila temasya dwi tahunan itu akan berlangsung di negeri yang bersempadan dengan lima negeri di Semenanjung itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.