SULTAN KELANTAN BAKAL YANG DI PERTUAN AGONG KE-15?

kl07_121016_raja-read-only-800x600

 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-242 di Istana Negara di sini.

Mesyuarat selama dua hari itu dihadiri semua Raja Melayu dengan diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah hadir diiringi Ketua Menteri masing-masing.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas akan diadakan Jumaat ini bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Ketika ini, jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-14 disandang Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkuat kuasa 13 Disember 2011 dan berakhir 12 Disember ini.

Berdasarkan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berada dalam giliran sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

KL14_121016_RAJA

Terdapat beberapa faktor yang akan dipertimbangkan oleh Majlis Raja-Raja menerusi undi rahsia bagi menentukan pengganti seterusnya seperti baginda yang dilantik, berkenan untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengalami kelemahan atau ketidakupayaan mental.

Selain itu, baginda yang dilantik adalah Raja yang berada di kedudukan teratas, mendapat sokongan sekurang-kurangnya lima Raja lain serta bukan seseorang yang telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong selama dua penggal berturut-turut.

Mengikut kebiasaan sebelum proses pemilihan berlangsung, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja terlebih dahulu akan bertanyakan Raja yang seterusnya dalam senarai giliran mengenai kesediaan baginda untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sembilan Raja kemudian akan membuat undi rahsia dan sekiranya Raja dalam senarai itu mendapat lima undian, baginda dengan rasminya dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong seterusnya.

Proses yang sama diulang untuk memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang akan memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di dalam negara atau kerana keuzuran.

 

Sumber BERNAMA 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.