MUKHRIZ BERMAIN POLITIK ‘KEDAI KOPI’

 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendakwa tindakan Mukhriz yang menabur maklumat separa benar berhubung gesaan terhadap kerajaan untuk mengembalikan subsidi petrol di negara ini menunjukkan yang beliau cuba bermain politik di peringkat ‘kedai kopi’.

“Cadangan itu yang dikemukakan tanpa memberi jalan keluar konkrit terhadap masalah sebenar boleh diibaratkan sebagai tindakan politik tidak bertanggungjawab.

“Hakikatnya sehingga kini beliau masih belum memberi penjelasan dan penyelesaian mengenai kehilangan RM40 bilion pendapatan negara akibat penurunan harga minyak dunia selain gagal memberi jawapan sama ada perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan mampu menangani situasi ekonomi dunia yang berada di luar kawalan kita?” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar pada Jumaat.

Dalam laporan akhbar pada Jumaat, Mukhriz mendakwa kerajaan masih boleh mengekalkan subsidi petrol dan diesel sekiranya mengamalkan pengurusan kewangan berhemah tanpa perlu merujuk kepada harga minyak dunia.

“Apabila Mukhriz menuduh kerajaan tidak mengamalkan perbelanjaan berhemah, beliau kelihatan seolah-olah tidak mempunyai tanggungjawab politik. Perlu diingat, negara ini paling banyak berhutang pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Di zaman itu, hutang negara setinggi 103 peratus daripada pendapatan kasar berbanding cuma 50 peratus pada masa ini. Maka jelas, kerajaan hari ini mengamalkan tanggungjawab politik lebih tinggi apabila berusaha menurunkan defisit selain sentiasa mengkaji keperluan subsidi tertentu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.