PENEROKA KESAL PENTADBIRAN TERDAHULU FELDA

 

Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKKP) Felda menyatakan rasa kecewa dengan tindakan pentadbiran Felda terdahulu yang tidak pernah memaklumkan berkenaan pertukaran hak milik tanah agensi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Anggota Lembaga Pengarah JKKP merangkap Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Samsuddin Othman berkata pihaknya berasa teraniaya dan menganggap ia sebagai cubaan untuk menggadai aset lembaga kemajuan tanah berkenaan.

“Ia menunjukkan pentadbiran terdahulu tidak telus dan banyak berselindung mengenai perancangan projek di tanah berkenaan serta berlaku kelemahan dalam pentadbirannya,” katanya yang ditemui pemberita pada mesyuarat JKPP di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Samsuddin menjelaskan beliau hanya dimaklumkan tentang pembangunan awal projek di tanah Felda di Jalan Semarak, namun tidak diberitahu berhubung pertukaran hak milik tanah tersebut.

“Pentadbiran terdahulu banyak berselindung dan bertindak tanpa mengambil kira pandangan pihak lain khususnya warga peneroka di mana selepas tiga bulan perjanjian pembangunan dimeterai, baru dimaklumkan kepada pihak lembaga,” katanya.

Samsuddin sehubungan itu berkata beliau mewakili peneroka Felda mahu tanah strategik itu dikembalikan semula kepada Felda.

Beliau berkata JKPP yang mewakili lebih 100,000 peneroka turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mendapatkan kembali tanah Felda itu.

Pada 21 Dis lepas media melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Dikatakan lot tanah seluas 16 hektar menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda sudah ditukar nama kepada syarikat lain pada 2016 dan pindah milik tanah itu berlaku apabila Felda Investment Corporation (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 2014 serta diberi surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

 

Sumber BERNAMA

One Response to "PENEROKA KESAL PENTADBIRAN TERDAHULU FELDA"

  1. Pingback: Isu Tanah Felda Menyebabkan Chef Wan Berang Dan Tulis Ayat Yang Sangat Pedas. – Suka Viral

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.