rafiziramli.com UNTUK KEGUNAAN PERIBADI, KERAJAAN SELANGOR

 

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Khamis diberitahu laman web www.rafiziramli.com yang tertera sebagai pautan di artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji pada laman Facebook Rafizi Ramli dibina untuk kegunaan peribadi dan kerajaan negeri Selangor.

Pereka Grafik Maxis Broadband Sdn. Bhd., Ahmad Nurfaiz Ahmad Foat, 28, yang membina laman web itu berkata beliau menerima e-mel daripada anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli yang memintanya membina laman web itu pada Ogos 2010.

Ahmad Nurfaiz berkata beliau ketika itu berada di semester kedua peringkat diploma jurusan kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara, Arau, Perlis dan membuat kerja separuh masa untuk membina laman web.

“Pada Ogos 2010, saudara Rafizi telah menghubungi saya melalui e-mel untuk mendapatkan khidmat mendaftarkan ‘domain’ (alamat laman web) dan ‘hosting’ (penyimpanan fail dan data termasuk teks, gambar dan video di laman web) untuk laman webnya. Beliau berkata laman web itu adalah untuk kegunaan peribadi dan kerajaan Selangor.

“Pada ketika itu, saya sebagai pelajar memang ada buat part time (kerja sampingan) untuk khidmat bina laman web. Saya anggap kerja (bina laman web) untuk dapatkan upah, jadi saya terima,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli pada hari pertama perbicaraan kes Mohd Rafizi yang didakwa menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji di dalam akaun Facebook miliknya, pada 2016.

Pada artikel di dalam Facebook itu tertera satu pautan alamat laman web www.rafiziramli.com.

Ahmad Nurfaiz dipanggil sebagai saksi pendakwaan setelah hasil siasatan Ketua Jabatan Pengawasan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Hairul Anuar Mat Nor yang merupakan saksi pendakwaan pertama mendapati nombor telefon Ahmad Nurfaiz tertera sebagai pendaftar laman web www.rafiziramli.com.

Kepada soalan Nadia bagaimana Ahmad Nurfaiz mengetahui individu yang menghantar e-mel untuk membina laman web itu adalah Mohd Rafizi, saksi kedua itu berkata Mohd Rafizi ada memperkenalkan dirinya di dalam e-mel itu selain menggunakan alamat e-mel tertera namanya rafiziramli@gmail.com.

Ahmad Nurfaiz berkata setelah bersetuju untuk membina laman web tersebut, Mohd Rafizi telah memberikan butiran termasuk namanya, alamat di Plaza Perangsang di Shah Alam dan alamat e-mel agendaekonomi@gmail.com.

Namun bagi nombor telefon untuk dihubungi, saksi itu berkata beliau meletakkan nombor telefonnya kerana beliau adalah pembina laman web itu dan nombornya diperlukan sekiranya berlaku serangan terhadap laman web atau kes jenayah siber.

Ketika ditanya Nadia bilakah Ahmad Nurfaiz menyerahkan domain dan hosting yang telah siap kepada Mohd Rafizi, beliau berkata ia diserahkan kira-kira dua minggu selepas beliau menerima e-mel daripada Mohd Rafizi.

Mengenai sejauh manakah penglibatannya dalam laman web itu, Ahmad Nurfaiz berkata beliau hanya terlibat membina domain dan hosting dan selepas menyerahkan kepada Mohd Rafizi beliau tidak lagi terlibat dengan apa-apa kerja atau mengendalikan sebarang aktiviti di laman web itu.

Mohd Rafizi, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ di dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada kira-kira 9 pagi, 8 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar bersambung 6 Februari.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.