PEMBANGKANG IKUT TELUNJUK MAHATHIR- CHEGU BARD

 

Kehadiran bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dalam pakatan pembangkang disifatkan dapat merosakkan gabungan terbabit.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard, berkata kehadiran Mahathir yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu dilihat turut sama membawa pengaruh Mahathirism dalam pakatan itu.

“Belum pun Mahathir berkuasa, beliau sudah memijak pemikiran rakyat apabila mempertahankan sistem tol memberitahu kadar tol Malaysia masih rendah.

“Malah beliau berkata, sekiranya pakatan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) beliau mahu menubuhkan Proton yang baharu.

“Kehadiran Mahathir seperti mahu pemimpin pakatan hanya mengikut petunjuk beliau saja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel dalam forum Adakah Mahathir Solusi Untuk Malaysia Yang Lebih Baik yang diadakan di auditorium Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), di sini, Khamis malam.

Forum itu dianjurkan Malaysia Bebas daripada Perasuah & Diktator dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Ahli panel lain adalah Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Rais Hussain; aktivis sosial, Hishamuddin Rais; penganalisis politik, Nathaniel Tan; bekas editor portal Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan aktivis, Haris Ibrahim manakala Y Kohila bertindak sebagai moderator.

CheguBard juga berkata, rakyat tidak dapat menerima permohonan maaf oleh Mahathir diatas ‘dosa’ yang dilakukan sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun.

Malah beliau turut menempelak pihak yang memaafkan Mahathir apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menerima permohonan maaf itu.

“Kami turun ke jalanan pada tahun 1998 bukan semata-mata kerana individu bernama Anwar, tapi Anwar dilihat yang mampu melawan Mahathir ketika itu.

“Tapi dengan keputusan mengangkat Mahathir sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang, jangan rakyat pula yang tidak memaafkan Anwar,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.