TOL : MAHATHIR ‘KAKI PUTAR’ BERJAYA ‘SIHIR’ PH – PAS

 

Tun Dr Mahathir Mohamad telah berjaya ‘menyihir’ Pakatan Harapan (PH) apabila mempertahankan kadar tol di negara ini yang diluluskan sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri bagi melindungi kesilapan dilakukannya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Nor, berkata Mahathir sememangnya terkenal dengan ‘kaki putar’ dan ahli politik yang licik.

Beliau berkata, kerana ‘kepintarannya’ itu, Mahathir mampu membelit dan menyusup masuk mana-mana lorong politik sehingga Pakatan Harapan (PH) yang suatu ketika begitu musuhinya kini mengangkatnya sebagai pemimpin utama, sekaligus membuktikan Mahathir sebagai ‘raja politik belit’ di negara ini.

“Kenyataannya terbaharu mengenai kutipan tol dengan mempertahankan langkah pentadbirannya dahulu mengenakan amat membingungkan rakyat. Malah beliau membandingkan kadar tol di negara ini dengan negara lain dengan menganggap ia sebagai termurah di dunia.

“Perbandingan harga tol di negara ini dengan negara lain dibuat seakan-akan menegaskan bahawa tindakan pentadbirannya dahulu adalah betul dan tepat sekali. Mungkin benar Perdana Menteri sekarang menggelarnya ‘bapa segala tol’. Maka sukar bagi rakyat meneka apakah pendiriannya dalam membela dan memperjuangkan rakyat, sedangkan tol adalah sebahagian daripada bebanan yang menimpa rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Riduan berkata, jika harga tol di negara ini termurah di dunia, apakah ia perlu dipertahankan dan bagaimana pula dengan dasar perjuangan PH dalam membela rakyat terbanyak khususnya mereka yang terhimpit dengan pelbagai tekanan hidup.

Katanya, pendirian Mahathir jelas bertentangan dengan agenda PH untuk membela dan membantu rakyat, khususnya melepaskan mereka daripada tekanan dan bebanan hidup termasuk usaha menghapuskan konsesi tol dengan alternatif bagi meringankan rakyat.

“Bayangkan hampir kesemua lebuh raya di negara ini mempunyai tol, dan setiap pengguna yang melaluinya perlu membayarnya.

“Tiada makna jika harga tol termurah tetapi pengguna perlu membayar banyak kali tol (kerana banyak lebuh raya perlu dilalui) dan membayarnya pula setiap hari. Pada hakikatnya, Tun adalah seorang pemimpin elit yang hidup kaya raya dan tidak merasai keperitan hidup rakyat di bawah, justeru beliau tidak tahu bebanan yang rakyat hadapi sekarang.

“Bayangkan jika Tun Mahathir sekali lagi menjadi Perdana Menteri, mungkin apa yang disanggahnya sekarang pun akan terbalik. Beliau pula akan membela dan mempertahankan segala dasar dan cukai yang diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sekarang, dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

“Maka pada ketika itu, pemimpin PH dan seangkatan dengan mereka akan sekali lagi tergigit oleh pemimpin yang menipu dan memperdaya rakyat,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.