JADIKAN PONGGAL SEBAGAI PERMULAAN BAHARU MASYARAKAT INDIA

 

 

Menjelang perayaan Ponggal esok, Datuk Seri Najib Tun Razak berharap masyarakat India di Malaysia menjadikan sambutan perayaan musim menuai itu satu permulaan baharu bagi kaum itu lebih maju dan berjaya.

Sesuai dengan ungkapan ‘Thai piranthal vazhi pirakkum’ (kemunculan bulan Thai akan membuka jalan bagi peluang-peluang baharu), Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia perlu melihat semula perjalanan sebagai sebuah negara bangsa ini telah melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk membina Malaysia yang aman, hamoni dan semakin moden hari ini.

“Bersempena sambutan perayaan Ponggal tahun ini, marilah kita sama-sama sebagai rakyat Malaysia mengeratkan perpaduan dan persefahaman di kalangan kita.”

“Percayalah, masa depan adalah milik kita bersama, ‘Naalai Namathey!’. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Hari Ponggal, atau ’Ponggal Vaalthukal’ kepada seluruh masyarakat India di Malaysia,” katanya dalam Perutusan Perdana Menteri sempena sambutan Ponggal 2018 yang dimuat naik di laman blog www.najibrazak.com, pada Sabtu.

Najib berkata pendekatan kerajaan yang inklusif dan mengutamakan kerjasama bersama masyarakat membolehkan lebih setengah juta kaum India di negara ini mendapat manfaat secara langsung daripada pelbagai program dan projek kerajaan sejak 2009.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kesinambungan kesemua projek dan program itu akan diteruskan untuk memastikan masa depan masyarakat India di Malaysia terus terjamin.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.