STRUKTUR PENGURUSAN LEMAH PUNCA KEMELUT FELDA

 

Kelemahan struktur pengurusan adalah punca kemelut yang dihadapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ketika ini, kata Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau bagaimanapun menegaskan penstrukturan semula kumpulan pengurusan di bawah Felda menunjukkan beberapa kemajuan dengan setiap anak syarikatnya diketuai pengerusi berasingan bagi memastikan kelancaran operasi.

“Sejajar kedudukannya sebagai agensi kerajaan, Felda memiliki pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya sendiri. Pada masa sama, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang merupakan sebuah entiti perniagaan, juga mempunyai pengerusi dan ahli lembaga pengarah berbeza.

“Ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dari segi pengagihan kerja,” katanya mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang kemelut Felda disebabkan salah laku dalam agensi itu.

Johari dipetik sebagai berkata, isu seperti model perniagaan salah, kelemahan pengurusan dan tadbir urus merupakan tiga punca utama beberapa syarikat milik kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengalami masalah, selain kegagalan mendapatkan bakat tepat dan bersesuaian.

Namun, Shahrir sebaliknya berkata, Felda dan anak syarikatnya tidak berdepan kesukaran mendapatkan khidmat bakat yang diperlukan kerana mengambil mereka yang pakar dalam bidang masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak yang disifatkannya amat tepat bagi memastikan tidak wujud sebarang masalah dalam agensi itu.

“Proses audit itu masih berjalan dan pasukan forensik terbabit akan datang ke Felda minggu depan untuk meneruskan siasatan mereka,” katanya.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) melantik sebuah firma audit luar untuk melaksanakan audit forensik ke atas projek KLVC yang sedang dibangunkan Synergy Promenade Sdn Bhd.

Firma audit itu antara lain akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan, selain menilai semula proses pengawalan berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas sayap pelaburannya, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Laporan sebelum ini menyatakan siasatan firma audit itu turut melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pada 21 Disember lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta, susulan transaksi meragukan pada 2015.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.