PKR LEBIH TERUK SALAH GUNA KUASA – CHEGUBARD

 

Isu salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran Kerajaan PKR Selangor ketika ini disifatkan lebih teruk dari era pentadbiran Barisan Nasional (BN) dahulu.

Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham atau dikenali sebagai Chegubard berkata beberapa pemimpin utama PKR menyedari pelbagai isu melibatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin, namun mereka membisu.

“Pemimpin PKR membisu sebab takutkan Azmin. Azmin didakwa menggunakan taktik berselindung di sebalik sentimen istana dan laporan polis untuk menyorokkan permainan licik dan aktiviti rasuahnya.

“Saya sendiri dipecat PKR pada tahun 2016 selepas didakwa melanggar disiplin parti kerana didakwa membuat pendedahan salah guna kuasa melibatkan Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Seksyen 9 di sini hari ini, ekoran tiga laporan polis dibuat terhadapnya.

Chegubard yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, beliau pada 9 Januari lalu telah mendedahkan butiran kertas siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) tahun 1996 terhadap Azmin, penglibatan Azmin dalam Langkah Kajang dan kos naik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang tinggi.

“Azmin juga mempertikaikan sikap saya berhubung kos naik taraf Kota Darul Ehsan, kononnya biadap dengan pihak Istana. Harus diperbetulkan isu kaitan pintu gerbang dengan pihak istana dibangkitkan oleh ADUN Taman Medan, Haniza Talha, bukan saya,

“Haniza turut menipu dengan mengatakan kos RM10 juta untuk naik taraf pintu gerbang tidak menggunakan wang rakyat, sebaliknya adalah hasil derma beberapa pihak tertentu,” katanya.

Sebelum ini Chegubard mengemukakan bukti Kerajaan Selangor memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot 68054 Mukim Tanjong Dua Belas Kuala Langat.

Beliau turut mendakwa pengurusan syarikat sudah beberapa kali cuba menukar status tanah, termasuk ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor, tetapi ditolak kerana ia terletak di kawasan zon hijau.

Chegubard turut mendedahkan pelbagai projek Kerajaan Selangor yang meragukan, antaranya kos pembinaan parkir perpustakaan negeri bernilai RM50 juta, iaitu lebih mahal daripada kos bangunan perpustakaan itu sendiri.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.