KES TIAN CHUA : KEPUTUSAN 2 MAC

 

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 2 Mac depan bagi keputusan rayuan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan kesat yang boleh mengaibkan seorang pegawai polis, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan tarikh itu untuk menetapkan hukuman selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan perkataan kesat terhadap Deputi Superintendan Glenn A. Sinappah yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, di pintu utama lobi sebuah hotel, jam 7.45 malam, 14 April 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam mewakili tertuduh, N. Surendran dalam hujahannya berkata, sabitan mengikut peruntukan Seksyen 509 itu yang tidak mempunyai kaitan dengan isu mengaibkan kehormatan pengadu.

“Kejadian itu hanya berpunca akibat telefon bimbit anak guam saya dirampas dan perkataan dikeluarkannya tidak berniat ke arah unsur seksualiti,” katanya yang turut mempertikaikan isu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Noraini Mohd Nor dalam hujahannya berkata, perbuatan Tian Chua memberi kesan kepada pengadu dan mencabar kewibawaan anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.

“Laporan forensik CCTV belum disiapkan namun keterangan dua saksi pendakwaan sudah cukup menyokong antara satu sama lain bagi kes ini.

“Faktor perayu sebagai bakal calon pilihan raya atau Ahli Parlimen tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan keputusan mahkamah,” katanya.

Pada 9 Mac 2017, Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Yasmin Abdul Razak mensabitkan Ahli Parlimen Batu itu kerana menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya Deputi Superintendan Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang akan hilang kelayakan sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum  penjara minimum setahun atau denda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.