PARLIMEN BELIA : KAJI LARANGAN ROTAN PELAJAR

 

Cadangan supaya kerajaan mengkaji semula larangan pelaksanaan hukuman rotan sebagai antara bentuk hukuman murid adalah antara empat usul dibahaskan pada persidangan Parlimen Belia Malaysia (PBM) Sidang Pertama 2018 bermula di Dewan Rakyat, Rabu.

Persidangan dua hari itu disertai 48 pembahas daripada keseluruhan 138 ahli PBM Sesi 2017-2018 itu dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Persidangan turut mengambil ketetapan mengutuk tindakan sekatan ekonomi menerusi larangan perdagangan minyak kelapa sawit oleh Kesatuan Eropah (EU).

Sesi kali ini juga mengemukakan usul supaya kerajaan mewujudkan Akta Gangguan Seksual bagi menangani masalah itu, selain mahu dasar pemilikan rumah dan hartanah ditambah baik untuk manfaat golongan belia.

Ismail dalam ucapannya berkata, buat julung kalinya persidangan PBM akan disiarkan secara langsung menerusi ‘live streaming’ di laman Facebook rasmi Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya, inisiatif dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu adalah selaras dengan perkembangan medium komunikasi dan perkongsian maklumat.

“Paparan secara langsung itu membolehkan sesi persidangan berkenaan ditonton masyarakat di seluruh dunia,” katanya.

Beliau juga mahu perwakilan PBM sidang kali ini membawa hasrat, harapan dan aspirasi generasi muda.

“Pada persidangan lalu, perwakilan menunjukkan peningkatan dalam aspek perbahasan dan idea.

“Justeru, kita harap sesi kali ini akan menyaksikan ahli menyuarakan usul berkaitan pembangunan negara, seterusnya menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan bagi melahirkan bangsa yang maju selari dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.