IBR : SPRM PERSOAL KERAJAAN SELANGOR

 

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempersoalkan berhubung keengganan Kerajaan Selangor yang juga satu-satunya negeri masih belum menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya
kecewa dengan tindakan Kerajaan Selangor, sedangkan semua negeri termasuk negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang di Pulau Pinang dan Kelantan telah berbuat demikian.

“IBR tidak perlu dijadikan isu kerana Kerajaan Pulau Pinang dan Kelantan pun setuju dengan usaha SPRM.

“Saya sendiri memberi akujanji bahawa akan hadir ke program berkenaan jika Kerajaan Selangor emilih tarikh yang bersesuaian untuk mengadakan IBR.

“Agak mendukacitakan (Selangor menjadi satu-satunya negeri yang belum melakukan IBR),” katanya ketika ditemui di Program Jimat Belanja Dapur Anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SPRM di Pasar Tani Seksyen 13, Shah Alam, pada Ahad.

Turut hadir adalah Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk M Saedon Ab Majid.

Dzulkifli berkata, Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu menunjukkan komitmen sama seperti negeri lain, kerana usaha membanteras rasuah adalah agenda penting yang memerlukan sokongan semua pihak.

“Saya merayu kepada kerajaan negeri untu melaksanakan ikrar berkenaan kerana ingin menunjukkan komitmen,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah mengakui beliau terkilan kerana gagal memujuk Mohamed Azmin menandatangani IBR.

Wan Ramli berkata, beliau bersungguh-sungguh mahu memastikan Kerajaan Selangor menandatangani IBR kerana hanya negeri tersebut belum berbuat demikian.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.