EKSPO RAYA : DUA PEMIMPIN PKR DIDAKWA RASUAH

 

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan dua pemimpin PKR di Selangor.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Nadi Rakyat Sungai Besar, Khairulnaem Abu Samah yang menggesa SPRM menyiasat pemberian tender untuk menganjurkan Ekspo Raya Aidilfitri 2016 di Sungai Besar, Selangor.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai bukti bahawa Ketua Cabang PKR Sungai Besar, Mohd Fauzi Ahmad dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Abu Talib Bujang terlibat dalam salah guna kuasa penganjuran ekspo tersebut.

“Perkara ini pernah didedahkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, menerusi blognya, baru-baru ini.

“Rasuah jelas berlaku apabila Mohd Fauzi selaku Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berada dalam mesyuarat yang meluluskan projek berkenaan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan keluarganya.

“Selain itu, Abu Talib selaku Ahli Majlis (Pelesenan) MDSB juga jelas menerima suapan bagi menyokong syarikat berkepentingan Mohd Fauzi untuk memperoleh projek berkenaan,” katanya selepas menyerahkan laporan mengenai entri blog Badrul Hisham di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada Isnin.

Khairulnaem turut mendakwa penganjur terpaksa membayar rasuah untuk mendapatkan kelulusan daripada PBT terlibat.

Pada 5 Febuari lepas, Badrul Hisham menerusi entri blog chegubard.blogspot.my mendakwa perbuatan rasuah itu berlaku ketika Mohd Fauzi dan Abu Talib menjadi Ahli Majlis MDSB.

Beliau mendakwa Mohd Fauzi yang berada dalam mesyuarat majlis itu meluluskan syarikat Ligat Bina Enterprise yang mempunyai kepentingannya untuk mengendalikan Ekspo Raya dan Bazar Ramadan MDSB 2016.

Selain itu, Mohd Fauzi juga didakwa membayar RM10,000 kepada Abu Talib sebagai habuan untuk membantu meluluskan projek berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.