‘PENYAKIT’ DALAM PPBM MEREBAK DI KELANTAN

 

Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin parah apabila pemimpin peringkat negerinya satu demi satu mula bersuara menyatakan rasa tidak puas hati dan hilang kepercayaan kepada kepemimpinan parti itu.

Selepas pertelingkahan berlaku antara pemimpin PPBM dan rakan komponennya di Selangor dan Negeri Sembilan berhubung perebutan kerusi, kini giliran pemimpin PPBM Kelantan menzahirkan rasa kebimbangan terhadap ketidakupayaan pemimpin mereka menyelesaikan isu berkenaan.

PPBM Kelantan mendedahkan isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Pakatan Harapan (PH) negeri itu masih buntu walaupun sudah melepasi tarikh akhir pada 7 Februari lalu.

Pemimpin akar umbi PPBM Kelantan diketuai Ketua Bahagian PPBM Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min mengumumkan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu.

“Kita kecewa dan tidak berpuas hati dalam banyak isu terutama pengagihan kerusi di Kota Bharu dan di daerah lain. Masalah yang timbul kini apabila Parti Amanah Negara (PAN) mahu tiga kerusi Parlimen dan DUN di Kota Bharu.

“Malah, daerah lain juga mengalami masalah sama seolah-olah PPBM dipinggirkan sedangkan kita memiliki jentera yang cukup jika dibandingkan dengan PAN,” katanya pada sidang media di Kota Bharu pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pemuda bahagian, Nik Mohd Adhwa Nik Haris dan Ketua Srikandi, Normala Abdul Kadir.

Mohd Nor Hashim menambah isu berkenaan sudah dibawa ke pimpinan tertinggi, namun masih tiada penyelesaian menyebabkan mereka tawar hati dengan PPBM.

“Namun realitinya, masa depan PPBM sudah tiada dan pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya memberi laluan kepada pemimpin lebih muda memandangkan beliau sudah berusia 93 tahun dan mempunyai masalah penyakit,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin PPBM Negeri Sembilan membatah agihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menuntut tiga lagi kerusi untuk ditandingi parti itu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.