SAMAN SIC : SUAMI ISTERI GAGAL

 

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak saman yang difailkan sepasang suami isteri terhadap penganjur sukan permotoran, Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC), kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian anak mereka Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, pelumba pada Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS), lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Tun Abd Majid Tun Hamzah menolak saman yang difailkan Mohd Abdul Hakim Embong dan Norhaidah Mohd Noor dan memerintahkan mereka membayar kos berjumlah RM14,000 kepada SIC serta defendan kedua, syarikat permotoran, AAM Motorsports Sdn Bhd.

Dalam penghakiman ringkasnya, Tun Abd Majid berkata kemalangan yang mengorbankan nyawa Muhammad Izzat bukan disebabkan kecuaian mana-mana pihak tetapi disebabkan ‘error of judgment’ (kesilapan perkiraan).

“Tidak dinafikan sukan permotoran terdedah kepada kemalangan dan risiko, maka semua pihak yang terlibat dalam perlumbaan ini sedar akan perkara ini dan bersedia menanggung segala kemungkinan.

“Sungguhpun mahkamah bersimpati atas kematian anak plaintif, namun berdasarkan keterangan (saksi), mahkamah mendapati kemalangan bukanlah berpunca daripada kecuaian pihak defendan,” katanya dalam penghakiman pada Isnin.

Plaintif diwakili peguam Jefri Jaafar manakala SIC selaku defendan pertama diwakili peguam Muhammad Syafiq Salleh dan peguam Mallika Lee mewakili AAM Motorsport sebagai defendan kedua.

Dalam pernyataan tuntutan saman itu,  Muhammad Izzat telah menyertai perlumbaan di bawah kategori Kawasaki Ninja 250R Cup di SIC pada 21 September 2013.

Semasa perlumbaan itu, Muhammad Izzat terlibat dengan kemalangan apabila motosikalnya terbabas dan melanggar seorang marsyal bendera, S. Satish, 44, yang berada di kawasan litar di garisan penamat.

Akibat pelanggaran itu, Satish meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Izzat berada dalam keadaan koma dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.