SABAH DAPAT LEBIH PERHATIAN ERA NAJIB – ISMAIL

 

Rakyat Sabah dituntut supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan persekutuan bagi membolehkan agenda pembangunan berjalan lancar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat Sabah supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, ia penting bagi memastikan kelangsungan pembangunan di negeri itu dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan sekarang begitu prihatin dengan keperluan pembangunan di Sabah sehingga menyalurkan peruntukan besar demi kesejahteraan penduduk di negeri ini.

Berbanding era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dulu yang tidak meletak bajet besar untuk pembangunan Sabah.

“Dalam tiga Rancangan Malaysia (RMK), jumlah bajet pembangunan untuk Sabah ialah RM3.3 bilion. Tiga RMK adalah 15 tahun. Tetapi apabila Najib menjadi perdana menteri, dalam satu RMK iaitu RMK-11, bajet untuk Sabah ialah RM3.4 bilion.

“Bayangkan, 15 tahun di bawah Mahathir, bajet untuk Sabah RM3.3 bilion tetapi lima tahun di bawah Najib, bajet untuk Sabah ialah RM3.4 bilion. Sebab itulah, apabila kumpulan-kumpulan pembangkang yang nak lantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri itu, Sabah akan balik seperti zaman dahulu,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di Kota Kinabalu pada Selasa.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu, satu daripada bukti keprihatinan Najib kepada rakyat dan pembangunan Sabah ialah dengan begitu kerap melawat negeri ini berbanding perdana menteri sebelumnya untuk mendengar sendiri keluhan rakyat seterusnya menyalurkan sejumlah peruntukan sewajarnya.

Sementara, beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata daripada jumlah keseluruhan bajet pembangunan di bawah kementeriannya untuk 2018, hampir 24 peratus diperuntukkan untuk negeri Sabah.

Katanya bagi Bekalan Elektrik Luar Bandar, negeri itu memperoleh RM220 juta iaitu 33.08 peratus daripada keseluruhan bajet (KKLW), Bekalan Air Luar Bandar sebanyak RM160 juta (38.08 peratus), Jalan Luar Bandar (RM253.5 juta) (32.14 peratus) dan Projek Jalan Kampung (RM38 juta) (26.2 peratus).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.