BANTUAN KERAJAAN UNTUK SEMUA KAUM – TPM

 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus bertanggungjawab membantu rakyat tanpa mengira kaum demi keseimbangan pengagihan ekonomi negara.

Justeru, sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Timbalan Perdana Menteri mengajak semua rakyat mengeratkan hubungan perpaduan antara kaum.

Ahmad Zahid yang turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Tionghoa di negara ini berkata, sambutan perayaan pada tahun ini amat bermakna kepada kaum tersebut kerana telah menjadi tradisi golongan itu sejak beribu-ribu tahun lalu.

Malah, kata beliau, kaum Cina sebagai populasi kedua terbesar di Malaysia juga telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Sewaktu kita mencapai kemerdekaan dahulu, dunia tidak yakin bahawa kita akan dapat mengelakkan daripada ketegangan hubungan antara kaum, jauh sekali membangunkan negara.

“Tetapi melalui hubungan antara kaum yang dipelihara dengan baik, keamanan dan pembangunan yang pesat dapat dilaksanakan menuju sebuah negara maju.

“Kerajaan akan terus bertanggungjawab membantu rakyat tanpa mengira kaum demi keseimbangan pengagihan ekonomi negara. Oleh itu, sempena Tahun Baharu Cina ini, marilah kita mengeratkan hubungan perpaduan antara kaum, Gong Xi Fa Chai,” katanya menerusi video ucapan berdurasi 1 minit 58 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook beliau, malam Rabu.

Perayaan Tahun Baharu Cina akan disambut pada Jumaat dan Sabtu ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.