HANYA 30,000 BANTAH PERSEMPADANAN DUN SELANGOR

 

Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya mengumpul 30,000 tandatangan pengundi di Selangor untuk menyokong bantahan terhadap syor kedua kajian semula persempadanan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bilangan tersebut jauh dari sasaran PH yang menyasarkan untuk mengumpul 100,000 tandatangan pengundi di Selangor sebagai sokongan terhadap proses berkenaan.

Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menghantar sejumlah 200 bantahan pengundi di negeri ini terhadap syor kedua kajian semula persempadanan semula Selangor di pejabat SPR Selangor.

“Antara bantahan ialah ketidaksamarataan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar sangat ketara di Selangor.

“SPR diminta mengambil kira permintaan daripada rakyat untuk memastikan pembahagian yang sekata boleh dibuat disemua kerusi DUN dan Parlimen Selangor.

“Bagi kawasan yang terkesan dengan syor kedua seperti parlimen Gombak, Ampang, Pandan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

“SPR perlu meneliti bantahan-bantahan khusus yang telah dikemukakan pengundi di kawasan- kawasan tersebut,” ujarnya kepada media selepas mengemukakan bantahan kepada SPR Selangor di Shah Alam, pada Selasa.

Turut hadir dua Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PH Selangor Dr Xavier Jayakumar.

SPR kini sedang mempamerkan cadangan persempadanan semula untuk kali kedua. Tempoh pameran dan bantahan akan berakhir esok.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor gagal dalam permohonan semakan kehakiman dikemukakannya bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen DUN di Selangor oleh SPR.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.