KERAJAAN NAJIB PADAM BUDAYA KRONI MAHATHIR – ANINA

 

Kerajaan berjaya memadamkan budaya kroni yang berleluasa semasa zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dengan langkah memperkenalkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Anina Saadudin.

Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, langkah berani tersebut berjaya menidakkan tuduhan selama ini kononnya kerajaan mementingkan kroni dan ia memastikan hasil kekayaan negara dipulangkan kembali kepada rakyat.

“Hasil kekayaan negara dipulangkan kepada rakyat melalui pelbagai cara yang mengambilkira kehendak dan keperluan setiap lapisan masyarakat.

“Diperkenalkan pada 2012, BR1M menjadi satu langkah yang paling berani pernah diambil kerajaan Malaysia, menidakkan tuduhan konon kerajaan memberi kekayaan hanya kepada kroni,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Mengimbau kembali istilah “kroni”, Anina mengungkit kisah Perhimpunan Agung UMNO pada 1998 apabila Mahathir dikritik hebat kerana didakwa mengkayakan kroni beliau sahaja.

“Kronisma dan nepotisma pertama kali dialunkan di Perhimpunan Agong UMNO pada 18 Jun 1998 oleh Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ianya disanggah oleh Mahathir dalam ucapan penangguhan Presiden.

“Rentetan itu, rakyat mula bercakap tentang kekayaan kroni dan anak-anak Perdana Menteri Malaysia ke-4 tersebut. Isu kronisma ini dilaungkan dengan lebih dahsyat ketika era Reformasi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1999,” katanya.

Menurut Anina, langkah kerajaan untuk memadamkan budaya kroni menyebabkan Mahathir kini tidak senang duduk sehingga terpaksa menghina rakyat dengan perkataan ‘dedak’ hanya kerana menerima hasil kekayaan negara itu.

“Kerajaan kini berusaha memadamkan budaya “kroni” yang diamalkan oleh Mahathir sebagai asas kekuatan kuasanya dahulu.

“Tidak mengejutkan apabila Mahatir melabel BR1M sebagai dedak untuk menghina rakyat hanya kerana menerima pemberian tunai tersebut,” katanya lagi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.