KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA IKTIRAF MCDONALDS MALAYSIA

 

Komitmen McDonald’s Malaysia dalam menyokong agenda negara untuk melahirkan 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2020 kini mendapat pengiktirafan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Pencapaian tersebut menjadikan McDonald’s sebagai pengendali restoran khidmat segera pertama yang menerima pengiktirafan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata penyertaan McDonald’s dalam SLDN dan pengiktirafan yang diterima bakal meningkatkan piawaian syarikat dalam usaha untuk membangunkan modal insan.

“Kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan tahap kompetensi kakitangannya sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk mewujudkan kepelbagaian dalam pasukan dan menghasilkan kakitangan yang terlatih.

“Kami percaya bahawa inisiatif pembangunan modal insan kami seiring dengan agenda sumber manusia di peringkat nasional. Kami berharap program latihan SLDN ini mampu menjadi pemangkin untuk negara mewujudkan sumber manusia yang cekap demi meningkatkan pertumbuhan ekonomi seiring dengan Rancangan Malaysia ke-11,” katanya dalam majlis pelancaran SLDN McDonald’s.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Richard Riot Anak Jaem turut hadir bagi merasmikan majlis tersebut.

Sebagai info, SLDN merupakan program berorientasikan latihan industri yang menggabungkan pembelajaran teori kepada situasi sebenar di tempat kerja.

Pelatih yang lulus dalam ujian penilaian dan peperiksaan akhir akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dan Tahap 3 oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan layak untuk mengembangkan karier di restoran McDonald’s seluruh negara.

“Terdapat lima pusat McDonalds Malaysia yang telah diluluskan oleh SLDN iaitu McDonalds cawangan Kota Damansara, NKVE, Damansara Damai, TTDI dan Bandar Sri Damansara sementara Pusat Latihan McDonald’s di Menara Tabung Haji (TH) Petaling Jaya pula dijadikan pusat latihan bagi pembelajaran teori.

“McDonald’s merancang untuk mewujudkan 100 buah pusat latihan di cawangan restoran sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang dengan sasaran seramai 1000 peserta menjelang akhir tahun ini,” ujar Azmir dalam satu kenyataan media.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.