FAM GANTUNG PENGADIL PERLAWANAN LIGA SUPER

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan menggantung seorang pengadil selama dua minggu selepas membuat keputusan yang tidak tepat sewaktu mengadili aksi Liga Super ketika Selangor menentang Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh berkata, jawatankuasa itu membuat keputusan berkenaan selepas mendapatkan laporan daripada penilai pengadil yang mendapati pengadil dari Johor itu secara cuai telah memberikan keputusan tidak tepat yang menjejaskan kualiti pengadilan.

“Pengadil dan penolong pengadil gagal memberikan satu keputusan seperti mana yang kita jangkakan iaitu di luar kawasan penalti tetapi memberikan satu maklumat yang salah, jadi tindakan perlu diambil.

“Kita juga menilai prestasi mereka sepanjang berlangsungnya perlawanan dan hasil kajian kita mendapati pengadil berkenaan tidak begitu cergas untuk mengadili perlawanan tersebut,” kata Subkhiddin pada sidang akhbar bulanan Jawatankuasa Pengadil FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini pada Khamis.

Sabtu lepas, pengadil berkenaan dilaporkan memberikan sepakan penalti kepada Pahang pada minit ke-69 selepas pemain Selangor dikatakan tidak sengaja memegang bola di dalam kawasan penalti, namun ia dibantah oleh pemain Selangor yang mendakwa pemain berkenaan melakukan kesalahan itu di luar kawasan penalti.

 

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.