10 PASUKAN LIGA M DIBERI PELUANG KEDUA

 

Sebanyak 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini boleh menarik nafas lega apabila Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memberi tempoh 14 hari untuk berbuat demikian.

Keputusan tersebut diambil pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang dipengerusikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menegaskan hukuman pemotongan mata selain denda dikenakan sekiranya pasukan-pasukan tersebut masih gagal memperbaiki kesilapan mereka dalam tempoh berkenaan.

“Kita beri peluang kedua kepada pasukan-pasukan ini untuk memperbetulkan apa yang perlu diperbetulkan selama 14 hari ini…semua kena ikut peraturan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Johor Bahru, pada Isnin.

Selain isu pendaftaran, katanya, mereka turut membincangkan terma dan syarat wang penajaan yang akan diterima bagi menambahbaik infrastruktur kesemua padang bola sepak yang ada selain penganjuran program-program akar umbi.

Pada 19 Februari lalu, FMLLP mendedahkan empat pasukan Liga Super dan enam dari Liga Premier gagal melengkapkan pendaftaran pasukan selepas tarikh akhir menghantar dokumen pada 3 Februari.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur tidak menghantar atau menghantar dokumen tidak betul manakala Selangor dan PKNS FC menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang diberikan.

Bagi Liga Premier pula, empat pasukan tidak melengkapkan dokumen pendaftaran iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala dua pasukan menghantar dokumen melepasi tarikh akhir yang ditetapkan iaitu MIFA dan UKM FC yang menghantar dokumen pada 15 dan 19 Februari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata antara perkara yang akan dibangkitkan dalam Kongres FAM pada 25 Mac depan ialah mengenai perubahan perlembagaan FMLLP.

Ia termasuk memisahkan jawatan Pengerusi FMLLP dan Presiden FAM di mana jawatan pengerusi FMLLP boleh disandang oleh sesiapa yang dipilih oleh 24 pasukan dalam badan itu dan tidak semestinya Presiden FAM.

“Ini merupakan satu perubahan yang besar di mana untuk pertama kalinya 24 pasukan dalam FMLLP boleh memilih dan mengundi pengerusi mereka sendiri dan bukan tertakluk kepada siapa yang dipilih sebagai presiden FAM.

“Dengan perubahan ini, kita akan selari dengan liga-liga dunia yang lain. Isu ini juga sama seperti pemilihan persatuan bola sepak negeri di mana seseorang yang dilantik menjadi menteri besar secara automatik akan menjadi presiden persatuan bola sepak negeri.

“Tetapi Tunku Ismail berhasrat memisahkan politik dengan bola sepak agar kestabilan FMLLP lebih terjamin,” katanya.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.