MYPPP SANTUNI ORANG ASAL LEMOI CAMERON HIGHLANDS

Laluan tidak berturap sepenuhnya dengan permukaan jalan yang tidak rata menjadi cabaran utama untuk masuk ke perkampungan Orang Asal di Pos Lemoi, Cameron Highland.

Perjalanan sepanjang 18 kilometer yang memakan masa selama satu jam setengah itu seakan-akan satu perkara biasa yang perlu ditempuh konvoi MyPPP setiap bulan bagi membantu menghulurkan sumbangan dan bersilaturahim dengan masyarakat orang asal kawasan terbabit.

Kira-kira 150 orang ahli MyPPP yang terdiri daripada pucuk pimpinan dan sayap utama parti telah menyertai program Tautan Kasih MyPPP pada kali ini.

Lambaian dan senyuman yang menyambut ketibaan konvoi menjadi bukti hubungan rapat yang terjalin antara MyPPP dengan masyarakat suku Semai ini.

Hampir 500 orang terdiri daripada golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak daripada dua buah perkampungan iaitu Kampung Lemoi dan Telimau memenuhi dewan Sekolah Kebangsaan Lemoi di mana program berlangsung.

Pengisian program ialah beramah mesra, pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian barangan keperluan harian, pemberian kupon petrol percuma, pemberian jersi pasukan bola sepak, cabutan bertuah dan jamuan makan beramai-ramai yang disediakan oleh pemuda MyPPP.

Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas berkata MyPPP sangat komited dalam menjaga kepentingan orang asal di Cameron Highland.

Menurut beliau, ahli MyPPP di seluruh negeri telah terlibat untuk membantu dalam proses pelaksanaan program-program kemasyarakatan bagi menjalin hubungan akrab antara masyarakat di sini dengan parti.

“Kita sudah berkunjung ke semua kampung orang asal di sini iaitu sebanyak 27 buah kampung dan kita telah agihkan kampung-kampung ini untuk dijadikan kampung angkat kepada seluruh ahli MyPPP di semua negeri. Jadi Kedah ambil satu kampung angkat, Selangor ambil satu, Wilayah Persekutuan ambil satu.

“Mereka akan bertanggungjawab untuk membantu dan melaksanakan program di kampung-kampung tersebut,” katanya.

Kayveas berkata melalui program-program yang dilaksanakan ini, beliau berharap semoga masyarakat orang asal lebih peka dari segi kesihatan dan kepentingan memilih pemimpin yang dapat menjaga hak kaum orang asal di Cameron Highland dan seluruh negara.

“Kita tahu mereka sukar keluar kerana masalah pengangkutan dan laluan yang sukar, jadi kita yang masuk ke dalam untuk memberikan mereka pendedahan-pendedahan yang diperlukan melalui program-program seperti ini.

“Selain aktiviti kemasyarakatan, kita juga sudah mengajar mereka cara cara untuk mengundi dan kita juga memberi pencerahaan kepada mereka akan kepentingan mengundi untuk memilih kerajaaan dan pemimpin supaya pemimpin yang dipilih dapat membantu diri kita, keluarga serta anak-anak kita,” katanya.

Kayveas yang juga merupakan anak jati Cameron Highland turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa MyPPP sekadar melaksanakan program untuk meraih undi menjelang Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang.

Beliau berkata program MyPPP akan tetap berlangsung walau tanpa PRU.

“Kita telah laksanakan program seperti ini hampir tiga tahun lalu dan ini sudah masuk tahun ke empat jadi telahan yang mengatakan MyPPP datang untuk pilihanraya semakin hampir itu salah.

Pilihanraya atau tidak, kita tetap akan laksanakan program. Kita juga tiada sebarang perancangan untuk berhenti dari melakukan khidmat kepada masyarakat orang asal di sini,” ujar beliau.

 

Oleh Syakirin Daud / Hazierra Lukman

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.