TIADA LAGI BAI’AH TALAK TIGA PAS

 

PAS hampir pasti menggugurkan bai’ah talak tiga terhadap calon yang diangkat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, Majlis Syura Ulama parti berkenaan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana negeri untuk menggunapakai bai’ah talak tiga.

Beliau berkata, Kelantan yang sebelum ini menggunakan bai’ah talak tiga berkemungkinan juga tidak akan menggunakan pendekatan itu kali ini.

“Perkara ini (bai’ah talak tiga) sebenarnya mengikut keperluan tempat tertentu, tetapi kemungkinan besar tidak akan digunapakai pada kali ini.

“Dalam konteks umum seluruh Malaysia tidak digunapakai bai’ah talak tiga, Majlis Syura juga tidak menerima sebarang permohonan. Jika ada baru kita akan buat keputusan,” ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Manifesto Gagasan Sejahtera di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Naib Presiden, Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata konsep bai’ah yang digunapakai PAS perlu dipandang dari segi prinsip umum dan harus dilihat dari sudut pandangan yang positif.

Menurut beliau, mekanisma bai’ah dengan atau tanpa penambahan lafaz perceraian yang digunakan selama ini semata-mata bertujuan untuk menjaga wakil rakyat daripada melakukan pengkhianatan terhadap rakyat.

“Tujuan kita adalah untuk menghalang supaya kerusi yang dimenangi tidak dijual dan tidak berlaku lompat parti sehingga rakyat kecewa.

“Rakyat memilih kita yang mewakili parti kita, tetapi tiba-tiba wakil rakyat yang menang melakukan khianat.

“Lihat apa yang berlaku di Perak dahulu. Rakyat pilih Pakatan Rakyat tetapi tiba-tiba disebabkan satu dua ADUN lompat perti sampai berlaku perubahan pentadbiran negeri. Ia mengecewakan ratusan ribu pengundi Perak,” ujar beliau.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.