[VIDEO]SEMBILAN TERAS MANIFESTO GAGASAN SEJAHTERA

 

Parti Islam Se-Malaya (PAS) yang merupakan parti de facto dalam Gagasan Sejahtera (GAGASAN) hari ini memperkenalkan sembilan teras utama kepada pembentukan dasar manifesto GAGASAN.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto tersebut didasarkan kepada realiti permasalahan serta tuntutan rakyat seperti penambahan pendapatan dan penjanaan peluang baru untuk rakyat.

“Manifesto GAGASAN akan turut mengurangkan jurang agihan pendapatan antara bandar dan luar bandar selain memperkasakan suara rakyat selaras dengan tuntutan syura dan amalan demokrasi.

“Kita juga akan mengharmonikan sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras dengan kehendak Syariah.

“Selain itu, manifesto ini turut menyentuh tentang pemberdayaan rakyat bagi meredakan kesan peningkatan kos sara hidup dan menambahbaik keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan yang memerlukan,” ujar beliau ketika berucap dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata manifesto tersebut mengambil kesemua permasalahan dasar rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.

Oleh itu, beliau yakin bahawa manifesto tersebut akan turut diterima oleh semua kaum di negara ini.

“Isu utama adalah permasalahan keseluruhan seperti kos hidup.

“Jadi isu teras tersebut meliputi kehendak semua rakyat tanpa mengambil kira kaum dan agama,” ujar beliau.

Selain menyentuh mengenai pembentukan kerajaan yang berintegriti, beramanah serta bebas korupsi, manifesto tersebut akan menyentuh mengenai peningkatan kualiti pendidikan, pengukuhan semula konsep federalisme dengan mengembalikan hak tertentu kerajaan negeri dan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial bagi golongan yang memerlukan.

Manifesto tersebut akan dilancarkan pada 18 Mac 2018 dalam satu Majlis Syarahan Perdana yang bertempat di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.

Selain PAS, GAGASAN turut dianggotai oleh parti IKATAN dan Berjasa.

 

  • Oleh Syakirin Daud
  • Videographer/Zul Hafiz Bahrin

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.