WANITA MATI DITIKAM 28 KALI OLEH TEMAN LELAKI

 

Seorang wanita warga Indonesia ditemui mati dengan kesan 28 tikaman di sebuah rumah di pangsapuri di Bukit Jelutong, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 8.25 malam itu, mangsa berusia 38 tahun dipercayai ditikam teman lelakinya yang baru tujuh bulan dikenalinya selepas berlaku pertengkaran mengenai hubungan mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat 28 kesan tikaman di leher, tengkuk, perut dan belakang badannya.

“Mayat mangsa ditemui jirannya dalam keadaan terlentang. Mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah di Shah Alam ditikam menggunakan pisau yang diambil dari dapur.

“Siasatan awal mendapati berlaku pergelutan di antara mangsa dan teman lelakinya. Bagaimanapun, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang juga teman lelaki mangsa berusia 40 tahun dua jam selepas menerima laporan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam, pada Isnin.

Baharuddin berkata, pihak polis difahamkan suspek yang bekerja sebagai kontraktor pendawaian eletrik itu merupakan pesakit mental, namun masih menunggu pengesahan lanjut.

“Suspek ditahan reman sehingga 17 Mac ini. Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.