AGIHAN KERUSI DUN SELANGOR SELESAI

 

Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) melibatkan empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.

Sumber berkata, daripada 56 kerusi DUN Selangor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing akan bertanding 15 kerusi.

Katanya, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pula masing-masing memperoleh 13 kerusi DUN.

“Kita akui ketika perbincangan agihan ada timbul ketidakpuasan hati sesetengah parti, namun ia berjaya ditangani atas semangat perpaduan.

“Agihan kerusi DUN Selangor ini merupakan hasil persefahaman semua wakil parti dalam PH,” katanya kepada Watan Online, pada Selasa.

Sebelum ini, PKR dikatakan mendominasi parti-parti lain dalam gagasan pakatan DAP, PAN dan DAP di Selangor dalam pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi PRU-14.

PKR dikatakan akan bertanding di 19 daripada 56 kerusi DUN Selangor, sekali gus menimbulkan kemarahan PAN dan PPBM.

Perbincangan pengagihan kerusi DUN Selangor mencetuskan konflik antara kepimpinan PH negeri meskipun rundingan itu sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Januari lepas.

Keadaan diburukkan lagi dengan tindakan Pengerusi PH Selangor Izham Hashim menggelar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai ‘joker’ selain mendakwa Mohamed Azmin tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor dan Pengerusi Pakatan Harapan Selangor.

Selain Izham, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Ronnie Liu turut secara terbuka ‘menyerang’ Mohamed Azmin menerusi akaun Facebook miliknya, 3 Januari lepas, dengan mengatakan menteri besar itu tidak layak memegang jawatan pengerusi pakatan tersebut.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.