KERJASAMA KPM-TM MENUJU TRANSFORMASI PENDIDIKAN

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memeterai satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha untuk memacu transformasi pendidikan menuju era kemajuan digital.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata permuafakatan antara kementerian dengan agensi yang berkepentingan adalah perlu bagi membantu mempertingkatkan kemajuan pendidikan negara.

“Kita ingin merangka satu program yang memerlukan semua sekolah mempunyai capaian internet yang berkapasiti tinggi.

“Jadi kerana itu kita merasakan perlu ada inisiatif kolaboratif antara KPM dengan TM dengan harapan kita dapat membangun bidang pendidikan seperti yang kita harapkan,” ujar beliau.

Mahdzir turut berkata transformasi pendidikan yang dirangka pihak kerajaan merupakan langkah yang tepat bagi memastikan negara tidak tertinggal dalam persaingan dunia menuju revolusi industri 4.0.

Oleh itu, beliau berkata generasi masakini perlu dipersiapkan dengan ilmu pengetahuan abad ke 21 bagi membolehkan mereka kekal berdaya saing dalam pasaran.

“Kita memerlukan pendidikan dengan pendekatan teknologi bagi mempersiapkan anak-anak menghadapi revolusi industri 4.0.

“Ini kerana paradigma ini akan melibatkan seluruh masyarakat terutamanya anak-anak sama ada yang tinggal di Bandar ataupun luar bandar.

“Jadi kita perlu mewujudkan satu komponen mekanisma yang membolehkan mereka bersaing di pasaran sama ada domestik atau antarabangsa,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani MoU Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan Malaysia di Pusat Konvensyen TM, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam acara tersebut, Mahdzir turut merasmikan Program Transformasi Digital Kementerian Pendidikan Malaysia-Ke Arah Pembelajaran Abad ke-21.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengerusi TM, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.