MANA WAKIL MCA – ZAHID

 

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini kecewa dengan pimpinan MCA Negeri Sembilan yang gagal menghantar wakil dalam satu program anjuran Barisan Nasional (BN) di DUN Paroi, Rembau hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN menyifatkan ia memberi gambaran buruk kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan pada bila-bila masa.

“Mana wakil MCA, tengok tiada seorang pun yang datang, MIC ada, GERAKAN ada, PPP ada tapi MCA tak ada.

“Tolong tunjuk muka di Parlimen Rembau walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak, tetapi program tidak hadir.

“Anda perlu tunjukkan hormat kepada kerusi ditandingi, jangan beri alasan sibuk. Saya mahu rekod cemerlang Negeri Sembilan diperolehi,” katanya ketika berucap pada Program Bersama Rakyat di Padang Awam Taman Satria, Rembau, pada Selasa.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Rembau dan empat DUN dalam kawasan berkenaan ditandingi calon daripada UMNO.

Sementara itu, Zahid  berkata beliau yakin BN akan merampas semua kerusi Parlimen Teluk Kemang dan Seremban daripada pembangkang jika calon terpilih menunjukkan komitmen penuh.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.