MANIFESTO PH KETINGGALAN ZAMAN

 

Cita-cita Pakatan Harapan(PH) untuk menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik sudah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PH seolah-olah tidak peka dengan transformasi yang telah dilaksanakan kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan sekolah kerajaan.

“Sekarang pun sekolah kerajaan menjadi pilihan rakyat. Kita ada 5.2 juta pelajar dalam sekolah kerajaan berbanding sekolah antarabangsa dan swasta yang mempunyai lebih kurang 140 ribu pelajar. Maknanya ibu bapa banyak memilih sekolah kerajaan.

“Setiap tahun kita ada penyelenggaraan sekolah, kita pertingkatkan kualiti guru dengan membuat pengkhususan perguruan dan kita titikberatkan disiplin dan keselamatan.

“Jadi kalau PH kata nak buat yang lagi baik, kita dah buat lama. Mungkin sebab dia pun baru tubuhkan PH, jadi dia pun baru nak buatlah,” katanya dalam satu sidang media sempena majlis Transformasi Digital Pembelajaran Abad ke-21 di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia (TM), Kuala Lumpur.

Sementara itu, Khalid turut berkata meskipun sekolah kerajaan sentiasa menjadi pilihan utama, namun kerajaan tidak menghalang pilihan ibu bapa yang berniat untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa dan swasta.

Menurut beliau, golongan ibu bapa mempunyai hak untuk menentukan pendidikan anak-anak mengikut pandangan masing-masing.

“Kita ada pelajar Melayu, Cina dan India malah kaum-kaum lain juga dalam sekolah kerajaan.

“Namun kita tidak boleh halang ibu bapa yang nak menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa atas tujuan-tujuan tersendiri,” katanya.

 

Oleh Syakirin Daud

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.