PRU 14 : HALIMATON SOKONG SHAHRIZAT TANDING SG BESAR

 

Wanita UMNO Selangor menyokong pencalonan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha untuk memperkasakan golongan wanita, tambahan pula calon yang bakal ditampilkan ialah pemimpin nombor satu Pergerakan Wanita.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Subang menegaskan pihaknya akan menyokong sesiapa sahaja yang terpilih menjadi calon kerana yakin kepemimpinan BN Pusat telah memperhalusi keputusan tersebut.

“Wanita UMNO merupakan sayap parti yang sentiasa setia dalam apa juga keadaan. Jika Budiman (Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi) kekal bertanding, kita akan sokong.

“Sesiapa sahaja yang bertanding atas tiket BN, kita akan sokong. Ia bukan isu kerana kita kena sokong semua calon yang ditampilkan parti,” katanya kepada Watan Online, pada Selasa.

Sebelum ini, Watan Online melaporkan sumber dari Penerangan BN Selangor bahawa Budiman kekal mempertahankan kerusi tersebut.

Ini kerana, BN Selangor tidak mahu mengambil risiko mencalonkan orang luar serta enggan memperjudikan Parlimen Sungai Besar yang dianggap kawasan ‘selamat’ untuk parti itu.

Ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar pada Jun 2016, Budiman meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar iaitu 9,191 undi.

Sebelum ini, Shahrizat dilihat seperti mengesahkan desas desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar pada PRU-14 nanti.

Beliau juga tidak menafikan khabar angin itu apabila diminta mengulas jemputan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk menjadi calon di situ.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.