PRU 14: MAHATHIR SEDIA GUNA LAMBANG DAP

 

“Saya terbuka mengenai isu ini, malah saya boleh bertanding di bawah parti DAP juga. Mungkin menjadi Presiden DAP,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad mengulas tindakan yang bakal dilakukan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibatalkan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian kepada media yang turut mengundang ketawa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pejabat Pembangkang Bangunan Parlimen, pada Selasa.

Terdahulu dalam sidang media itu, Mahathir mendakwa walaupun PPBM  mengikut segala kehendak yang diminta ROS,  ia tetap tidak akan meluluskan pendaftaran PH.

Mahathir juga membayangkan, sekiranya perkara itu berlaku laluan untuk Barisan Nasional (BN) mencipta kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi mudah.

“Kita dapat maklumat bahawa ROS tidak akan lulus walau apa pun dilakukan oleh kita untuk menentukan segala kehendak ROS dipatuhi. ROS tidak akan lulus (PH), kerana jika PPBM tidak dapat (bertanding) dalam pilihanraya, Najib akan menang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pakatan pembangkang itu masih belum membuat perancangan berkenaan tindakan susulan sekiranya PPBM dibubarkan secara rasmi kelak.

“Plan B adalah Plan B lah,” ujarnya ringkas.

PPBM kini berdepan risiko untuk dibubarkan selepas ROS mengemukakan notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.

Notis itu menuntut PPBM menyerahkan penyata kewangan dan minit mesyuarat setiap cawangan dan bahagian seluruh negara bagi menyiasat dakwaan bahawa tiada mesyuarat dibuat untuk memilih perwakilan ke AGM parti itu.

 

Oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.