ISU AIR : AZMIN LENGAHKAN BAYARAN PAAB

 

Kerajaan Selangor didakwa bermain taktik kotor dalam isu penstrukturan semula industri air negeri ini.

Ini kerana Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sengaja melengahkan proses tersebut kerana tidak mahu membuat sebarang pembayaran kepada Kerajaan Persekutuan atau Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, berkata apabila melengahkan pengambilalihan syarikat konsesi Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH), ia membolehkan kerajaan negeri untuk berterusan mengambil air tanpa perlu membuat bayaran.

“Selagi pengambilan SPLASH tidak selesai, kerajaan negeri berpeluang untuk tidak membayar perkara yang sepatutnya dibayar.

“Kita lihat kerajaan negeri kutip air, kutip bil. Sepatutnya bayaran investment (pelaburan) dibuat Kerajaan Persekutuan ini dibayar semula tetapi (kerajaan negeri) tidak membayarnya,” katanya ketika hadir ke Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan KASIH Selangor, di Shah Alam, pada Rabu.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Azmin perlu berhenti menyalahkan pihak lain, sebaliknya mengakui kelemahan diri sendiri.

“Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah merangka dengan baik proses pemstrukturan air. Namun, apabila Azmin naik jadi Menteri Besar, dia telah merosakkan segala-galanya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata Kerajaan Persekutuan akan meneliti pilihan perundangan, termasuk menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2005 (Akta 655) bagi merungkai krisis bekalan air di Selangor.

Maximus berkata, penyelesaian ‘jalan’ terakhir itu berlandaskan kepentingan menjaga keselamatan air negara itu bakal menyaksikan semua aset dan pengurusan dikendalikan kerajaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.