KEBOCORAN DATA PERIBADI, SIASATAN SEDANG BERJALAN – JAILANI

 

Kerajaan memandang serius isu ketirisan dan penyalahgunaan data peribadi susulan beberapa kejadian kebocoran berlaku baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari, kebocoran data peribadi melibatkan 46.2 juta nombor pelanggan telefon mudah alih dan siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Pihak PDRM, SKMM, Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Jabatan Peguam Negara dengan koordinasi berpusat oleh Agensi Keselamatan Cyber Negara telah bekerjasama dalam menjalankan siasatan di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Siasatan bagi kes-kes sedang dan masih berjalan sehingga kini, saksi-saksi yang dikenalpasti sudah dipanggil oleh PDRM bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Jailani, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen DAP kulai Teo Nie Ching di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Menurutnya lagi, bagi tahun 2017 sebanyak tiga kes pendakwaan dan denda telah dikenakan.

Sementara bagi tahun 2018 pula katanya sudah terdapat lima kes sehingga kini.

Selain itu katanya, antara langkah yang diambil kerajaan bagi menangani isu ini ialah pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan seperti pemantauan berkala dengan mengadakan pemeriksaan Sistem Perlindungan Data Peribadi.

“Selain daripada itu kita adakan program kesedaran melalui penganjuran seminar di seluruh negara selain membuat promosi dan publisiti,” ujarnya.

 

Oleh Najamuddin Mohd Nor

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.