RMT : PEMBANGKANG TURUN SENDIRI LIHAT – MAHDZIR

 

Pemimpin pakatan pembangkang ditempelak kerana bersikap tidak matang serta hanya tahu mempolitikkan semua perkara, termasuk isu Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pemimpin pembangkang sepatutnya perlu melihat sendiri pelaksanaan RMT atau membuat penyampelan RMT di beberapa sekolah bagi mendapat fakta sebenar.

“Saya minta pemimpin pembangkang pergi tengok sampel RMT di sekolah. Di sekolah sekitar Kuala Lumpur pun boleh pergi cari yang ada program RMT.

“Sebab itu pemimpin pembangkang kena buat kajian manfaat RMT, tengok berapa murid dapat RMT, berapa sekolah sudah diluluskan peruntukan, apa jenis makanan yang diberikan.

“Saya minta pihak yang tunding jari salahkan kementerian, saya mempersilakan ke sekolah lihat penyediaan RMT,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Pendidikan KASIH Selangor, di Shah Alam, pada Rabu.

Sebelum ini, Mahdzir mempertikaikan kaji selidik Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) yang mengaitkan masalah kekurangan zat makanan dan pembesaran terbantut kanak-kanak di Kuala Lumpur dengan Ghana.

Isu tersebut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengenai kaji selidik Unicef itu.

Mahdzir berkata, untuk 2018, seramai 450,000 pelajar menerima RMT, sama ada sekolah di bandar atau luar bandar, termasuk pelajar yang tinggal di flat kos rendah.

Beliau berkata, selain sekolah kebangsaan, terdapat 40,948 pelajar sekolah jenis kebangsaan Cina dan 26,620 pelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil menerima RMT.

Pada 27 Februari lalu, kaji selidik Unicef bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati satu dalam lima kanak-kanak di ibu negara mengalami pertumbuhan terbantut, manakala satu dalam 10 orang kurang berat badan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.