SKANDAL TANAH : 113 PENEROKA IJOK FAIL SAMAN

 

Seramai 113 peneroka tanah di Ijok memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Rabu, terhadap kecuaian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Kerajaan Selangor dalam menstrukturkan persetujuan penghakiman di Mahkamah Persekutuan pada 2016.

Pernyataan tuntutan itu diserahkan peguam yamg mewakili mereka, Kamarudin Ahmad pada jam 10 pagi.

Tuntutan tersebut menyatakan plaintif sebagai Mohd Fadzil Ibrahim dan 112 peneroka Bukit Cerakah Fasa dua dan tiga, manakala enam defendan iaitu Mohamed Azmin, Kerajaan Selangor, Menteri Besar Diperbadankan (MBI), Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Selangor dan Pendaftar Hak Milik Negeri Selangor.

Kamarudin berkata, kecuaian menstrukturkan persetujuan penghakiman itu menyebabkan hak plaintif terjejas kerana tiada ganti rugi lewat menyiapkan rumah selama 12 tahun diberikan kepada mereka.

“Tuntutan ini juga mempersoalkan ke mana perginya baki 400 hektar tanah peringkat dua dan tiga itu? Wujud unsur kecuaian serta salah laku defenden yang menyebabkan kerugian kepada plaintif.

“Sehingga kini, Menteri Besar Selangor gagal menjelaskan ke mana baki tanah yang menjadi hak plaintif,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi mahkamah.

Kamarudin berkata, plaintif memohon perintah mahkamah mengenai enam tuntutan yang difailkan.

“Pertama, satu deklarasi bahawa plaintif dan peneroka Revolusi Hijau Bukit Cerakah Peringkat dua dan tiga berhak ke atas 400 hektar tanah Bukit Cerakah yang didaftarkan atas nama defendan ketiga (MBI)

“Ia disusuli deklarasi bahawa defendan kedua (Kerajaan Selangor) dan MBI memegang tanah itu itu sebagai pemegang amanah kepada semua plaintif serta peneroka berkenaan.

“Selain itu, satu perintah melarang kedua-dua defendan melaksanakan sebarang urusan ke atas tanah berkenaan. Bayaran faedah atau ganti rugi penyerahan rumah secara lewat sebanyak RM230,000 bagi setiap plaintif turut dituntut,” katanya.

Katanya, tuntutan itu juga berkaitan bayaran ganti rugi yang ditaksirkan mahkamah dan faedah lima peratus dari tarikh penfailan sehingga penyelesaian penuh kes.

Watan Online sebelum ini melaporkan peneroka tanah di Ijok mendakwa Kerajaan Selangor mengambil tanah seluas 400 hektar milik mereka di Ijok secara tidak sah serta akan membawa tuntutan itu ke mahkamah.

Ini kerana luas keseluruhan tanah milik peneroka ialah 1200 hektar, yang mana 800 hektar daripadanya telah dijual bagi projek pembangunan.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong berkatam, peneroka tanah di Ijok seolah-olah diperdaya apabila tidak dimaklumkan mengenai cadangan projek pembangunan kasar bernilai RM15 bilion di atas tanah mereka.

Tanah di Ijok itu diambil Kerajaan Selangor ketika Abdul Khalid menjadi Menteri Besar pada 2009 selepas syarikat pemaju dilantik peneroka selaku pemilik tanah, gagal memajukan kawasan berkenaan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.