DENDA KHALID SAMAD KEKAL RM1,900, BOLEH TANDING PRU-14

 

Mahkamah Rayuan Syariah di Shah Alam, pada Khamis mengekalkan denda RM1,900 terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad atas tuduhan mengajar Islam tanpa tauliah.

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Aidi Moktar yang mengetuai tiga panel menolak rayuan Ketua Pendakwaan Syarie, Sofiah Ahmad untuk memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah tahun lalu, yang mengurangkan denda daripada RM2900 kepada RM1,900, kerana mengajar Islam tanpa tauliah.

Aidi Moktar berkata, pihak pendakwaan gagal menunjukkan ada isu perundangan dan kepentingan awam yang perlu ditentukan oleh mahkamah.

“Perayu tidak memenuhi syarat di bawah seksyen 167 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah di atas kegagalan membuktikan soalan kepentingan awam dan gagal menunjukkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah bahawa Mahkamah Tinggi ada menyentuh isu undang-undang,” katanya

Awal tahun lalu, Mahkamah Syariah di Klang mendapati Khalid bersalah mengajar Islam tanpa tauliah semasa menyampaikan ceramah di surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 2011.

Beliau didenda RM2,900 dan meletakkannya pada risiko tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Khalid mendakwa beliau diundang ke surau tersebut untuk berkongsi pengalamannya ke Palestin, bukan untuk memberi ceramah agama.

Hakim Mahkamah Syariah Selangor Salehan Yatim kemudiannya mengurangkan jumlah denda kepada RM1,900, yang bermakna Khalid tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan masih boleh bertanding pada PRU-14.

Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan seseorang memegang jawatan sebagai wakil rakyat jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.