PSM TANDING ATAS TIKET SENDIRI

Foto Syakirin Daud@Watan-Online

 

Walaupun dipandang sepi oleh Pakatan Harapan (PH) dan akan bertanding atas tiket sendiri, namun Parti Sosialis Malaysia (PSM) tetap bertekad untuk menyebelahi blok gabungan terbesar parti-parti pembangkang di Semenanjung itu.

Setiausaha agung PSM, A. Sivarajan menegaskan PSM sanggup bekerjasama dengan PH sekiranya memenangi kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kali ini.

Sivarajan turut menegaskan PSM tidak akan menjual kerusi kepada pihak yang berseberangan dengan PH.

“Saya tegaskan di sini bahawa PSM merupakan parti pembangkang, dan kami lebih pro kepada PH.

“Tujuan kami bertanding sendiri dalam PRU kali ini ialah terdapat kebuntuan dalam perbincangan dengan PH sebelum ini.

“Jadi memandangkan PRU semakin hampir, kami merasakan tiada masa untuk berdolak dalih dan akan umumkan calon di kawasan yang kami yakin menang,” ujar beliau dalam satu sidang media bagi mengumumkan calon PSM di Sungai Buloh di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat PSM Cawangan Subang pada Jumaat.

Dalam sidang media tersebut, aktivis masyarakat, Zainurizzaman Moharam diumumkan sebagai calon PSM yang akan bertanding menentang calon PAS, BN dan PH dalam PRU-14 bagi kerusi Sungai Buloh.

Mengulas lanjut, Sivarajan yang juga merupakan calon PSM bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara turut menegaskan PSM bukanlah ‘penganggu’ blok pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Perkara ini dapat dilihat dalam jumlah kerusi yang ditandingi PSM lebih sikit berbanding parti pembangkang yang lain.

“Kita lihat PAS bertanding 130 kerusi, Parti Rakyat Malaysia (PRM) hampir 40 buah kerusi tetapi PSM hanya mahukan 17 kerusi, jadi kami bukan parti pengganggu.

“Jika kami menang nanti, kami tetap bekerjasama dengan PH. Kita takkan menyebelahi Barisan.

“Rekod sebelum ini pun kita sokong Pakatan, tetapi kita pun tertanya mengapa baru sekarang PH ragu-ragu dengan kami,” ujar beliau.

 

Oleh : SYAKIRIN DAUD

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.