KHAIRY HASRAT PERTAHAN REMBAU

 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhasrat untuk terus mewakili penduduk Rembau bagi tempoh lima tahun lagi.

Beliau yang menjadi anggota Parlimen Rembau sejak 2008 berkata masih banyak lagi pembangunan yang ingin dibawa ke kawasan itu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada minta saya untuk tengok-tengok kawasan lain tapi saya minta untuk kekal di sini.

(Apapun) saya orang parti, jadi apa saja keputusan beliau, saya akan terima,” katanya kepada media selepas Program Pemimpin bersama Rakyat dan Penyerahan Kunci Rumah kepada mangsa kebakaran bagi rumah yang telah dibaik pulih di Rumah Rakyat Pedas, Rembau dekat sini, pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Rembau Datuk Zaifulbahri Idris.

Khairy yakin akan terus menang di kawasan itu sekiranya dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin dapat pertahankan kawasan ini bersandarkan kepada sokongan yang diterima sejak dari pilihan raya umum 2008 dan terus meningkat pada 2013.

“Mungkin akan ada tekanan dari segi isu-isu semasa dan sebagainya tetapi di sini kita amalkan pendekatan Rembau untuk Rembau,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM200,000 untuk membaiki enam rumah yang terbakar dalam kejadian pada Ogos tahun lepas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.