MALAYSIA PALING BERJAYA BANTU MASYARAKAT MISKIN- NAJIB

 

Malaysia diiktiraf sebagai negara paling berjaya di dunia dalam soal membantu golongan susah dan berpendapatan rendah menerusi pelbagai dasar yang telah dilaksanakan kerajaan sejak dahulu hingga sekarang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata dasar itu dilaksanakan secara konsisten sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein iaitu ayahanda beliau sendiri dengan mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutan (Felda).

Katanya ia diikuti dengan penubuhan pelbagai agensi lain seperi Felcra, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tekun Nasional (Tekun), dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 1987 yang menjadi antara medium untuk golongan itu mengubah corak kehidupan mereka.

“Sebagai sebuah kerajaan, saya berpegang kepada prinsip dan falsafah yang merupakan kesinambungan perjuangan ayahanda saya yang menjadi pencetus serta mengilhamkan Dasar Ekonomi Baharu sebagai penggerak utama pembangunan luar bandar.

“Dalam perjuangannya, antara yang menjadi perhatian utama ialah bagaimana nak mengubah dan menolong orang kampung dan miskin. Hal ini tidak dapat dinafikan apabila kedudukan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar mulai berubah bertitik tolak daripada situ.

“Saya sebagai anakandanya, sudah tentu saya ingin melihat landasan yang telah dimulakan diteruskan sampailah hari ini sehingga segala-gala yang diimpikan dan menjadi aspirasi serta cita-cita Allahyarham akan menjadi kenyataan,” kata perdana menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Himpunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Pekan di sini, Ahad.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Abu Bakar Harun dan Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr. Zubir Harun.

 

Wartawan Watan-Online 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.