AGENDA BUMIPUTERA DIBELA JIKA BN BERKUASA- NAJIB

 

Agenda Bumiputera termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus terbela sekiranya Barisan Nasional (BN) terus memimpin negara.

Komitmen itu dilafazkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan memerangi sebarang cubaan menghapuskan agenda Bumiputera.

Perdana Menteri berkata, ada gerakan didalangi pihak tertentu yang sengaja melihat agensi itu terkubur.

“MARA juga akan terus berkembang sebagai sebuah institusi kebanggaan Bumiputera kerana sebati dengan saya kerana diasaskan ayahanda, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Selain itu, kewujudan MARA mempunyai kaitan dengan Perlembagaan UMNO yang merangkumi perjuangan sosio-ekonomi Bumiputera dan Melayu,” kata Najib.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Himpunan Anak MARA di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT) Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Subang, Ahad.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi MARA, Datuk Awang Adek Hussin, Pengerusi UniKL, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Najib juga turut menyeru rakyat menolak dakyah dan tohmahan pembangkang kononnya tsunami Melayu akan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Katanya, orang Melayu mesti menyokong Barisan Nasional (BN) kerana parti itu yang telah terbukti mencorakkan kemajuan dan peningkatan taraf hidup mereka sejak merdeka.

“Letakkan kepercayaan kepada UMNO dan BN kerana ia satu-satunya parti politik yang boleh menjamin masa depan serta kelangsungan generasi anak cucu kita,” kata Najib yang juga merupakan Pengerusi BN.

 

Oleh : NAJAMUDDIN MOHD NOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.